Adakalanya bayi meragam tidak mahu minum susu ibu. Dia menolak penyusuan walaupun dilakukan pada waktu yang rutin. Mengapa terjadi hal demikian? Sebenarnya bayi yang tidak mahu menyusu badan bukan menolak terus susu ibu, tetapi dia sedang memberitahui anda tentang masalah yang dihadapinya. Jadi, anda perlu menyiasat dan mengenal pasti apakah masalah tersebut.
Beberapa sebab bayi biasa menolak penyusuan:
*Bayi tidak melekap dengan betul dan isi puting payu dara ibu yang masuk ke dalam mulutnya tidak cukup untuk membolehkan dia menyusu dengan efektif. Jika berhadapan dengan situasi ini, perbetulkan posisi pelekapan bayi atau dapatkan nasihat daripada kaunselor penyusuan untuk mengatasi masalah ini.
*Bayi menghadapi masalah sakit mulut disebabkan oleh pertumbuhan gigi, lepuh sejuk (cold sores) atau jangkitan (seperti jangkitan kandida).
*Ini merupakan reaksi bayi disebabkan jeritan spontan anda apabila dia menggigit puting payu dara anda.
*Bayi mempunyai jangkitan telinga yang menyebabkan tekanan atau kesakitan semasa menyusu.
*Bayi dijangkiti selesema atau hidung tersumbat yang menyukarkannya bernafas semasa menyusu.
*Jika bayi kerap diberi campuran susu formula dan menyebabkan pengurangan pengurangan bekalan susu ibu.
*Terlalu banyak gangguan, bunyi bising atau terhenti ketika menyusu.
*Rutin bayi terganggu disebabkan berpindah rumah atau ibu kembali bekerja.
*Bayi berpisah dengan ibu untuk jangkamasa yang lama.
Walaupun perlakuan bayi menolak penyusuan ini merungsingkan ibu tetapi ia boleh diatasi dengan kesabaran dan kasih sayang dari ibu sendiri. Pastikan anda tidak berputus asa lalu mengambil keputusan menghentikan penyusuan susu ibu.
Semasa proses menyelesaikan masalah ini, ibu hendaklah memerah keluar susu dengan tangan atau pam setiap beberapa jam (sama kerap seperti bayi menyusu dulu). Ini dapat mengelakkan daripada berlaku masalah mastitis dan mengekalkan bekalan susu yang cukup.
Cara menangani masalah ini:
*Cuba berikan payu dara anda semasa bayi sedang tidur atau semasa dia paling mengantuk. Kebanyakan bayi yang menolak penyusuan susu ibu ketika berjaya akan menyusu semasa mereka mengantuk.
*Bawa bayi berjumpa doktor untuk mengetahui sama ada bayi mempunyai sebarang penyakit (seperti jangkitan telinga atau jangkitan kandida).
*Ubah posisi penyusuan anda.
*Susukan bayi sambil bergerak. Ada bayi lebih suka menyusu apabila dibuai atau dibawa berjalan berbanding disusukan semasa sedang duduk atau berdiri.
*Carilah bilik yang sunyi untuk menyusukan bayi. Biasanya, bayi yang berusia enam hingga sembilan bulan bertindak untuk menolak penyusuan disebabkan dia terangsang untuk meneroka dunia yang baharu dikenali. Bayi pada usia ini mudah mengalih perhatian kepada perkara lain dan selalunya lebih suka untuk "hisap main-main" di payu dara ibu dan tidak mahu menyusu dengan sempurna. Gunakanlah bilik yang agak gelap, sunyi dan jauh daripada bunyi radio atau televisyen semasa menyusukan bayi anda.
*Berikan sentuhan kulit dengan kulit yang kerap. Kain atau alat pendukung bayi boleh membantu anda berkedudukan rapat dengan bayi semasa tidak menyusunya.
Sebenarnya, tidak mungkin bayi yang berusia di bawah satu tahun yang terdahulunya menyusu dengan baik sudah mahu bercerai susu. Carilah punca dan jalan penyelesaian.