Monday 22 April 2013

TIPS PILIH HOSPITAL BERSALIN

Anda sedang hamil? Tentu persoalan di mana hendak bersalin bermain-main di fikiran. Memilih antara bersalin di hospital swasta atau kerajaan menjadi dilema pasangan bakal papa dan mama. Mana satu pilihan terbaik? Dapatkan maklumat berikut sebagai garis panduan.


Sewaktu melihat hospital dan klinik bersalin, anda tentu berasakan ia sama sahaja. Tetapi hakikatnya, bukan semua dapat memenuhi keperluan anda. Penting bagi anda menyenaraikan kriteria yang perlu ada pada hospital dan klinik bersalin yang sewajarnya menjadi pilihan anda.

Hakikatnya anda sendiri yang perlu membuat keputusan hospital mana untuk melahirkan bayi berdasarkan faktor keperluan, kemampuan dan keselesaan anda. Usah mengikut orang lain kerana setiap orang lain-lain keperluan dan kemampuannya.

Kebanyakan pakar obstetrik & ginekologi yang berpengalaman luas dalam bidang perbidanan dan sakit puan di hospital swasta dan kerajaan mempunyai panduan untuk bakal-bakal ibu dan wanita yang sedang merancang untuk memiliki anak ketika membuat pemilihan hospital untuk bersalin.

1. Pastikan anda tahu mengenai latar belakang sejarah kesihatan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, epilepsi, asma, jantung, kencing manis atau komplikasi semasa hamil dan melahirkan (yang lalu) yang memerlukan penjagaan rapi. Dapatkan pandangan daripada doktor O&G yang memeriksa anda.

2. Adakah hospital yang dipilih membenarkan pasangan anda masuk ke bilik bersalin semasa proses kelahiran bayi? Jika anda merancang untuk menyusukan bayi secara eksklusif, ambil tahu adakah hospital pilihan anda merupakan hospital rakan bayi (menyokong penyusuan susu ibu secara eksklusif).

3. Pastikan anda selesa dan serasi dengan doktor pakar O&G di hospital tersebut kerana dia akan memantau sepanjang kehamilan dan menyambut kelahiran bayi anda. Oleh itu sebaiknya biarlah pemilihan hospital bersalin dilakukan di awal kehamilan. Ini membolehkan anda dan doktor membina hubungan yang baik seterusnya memudahkan anda berkomunikasi jika ada sebarang masalah berkaitan kehamilan anda.

4. Pastikan lokasi hospital bersalin yang dipilih paling hampir dengan rumah kerana tidak tahu bila berlaku kecemasan. Jadi ia mudah untuk datang secepat mungkin tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya.

5. Pastikan hospital pilihan mempunyai kepakaran dan kemudahan yang lengkap jika berlaku sebarang kecemasan semasa melahirkan anak. Bagi mereka yang berisiko tinggi seperti ada masalah kesihatan, berpengalaman bersalin secara pembedahan caesarean, ada komplikasi semasa hamil, digalakkan bersalin di hospital kerajaan kerana kemudahan dan kepakaran yang lengkap dan cukup. Ini kerana bukan semua hospital swasta mempunyai pakar bius yang bersedia sepanjang masa atau kemudahan unit rawatan rapi neonatal.

Selepas meneliti serba sedikit maklumat mengenai beberapa hospital berikut, mungkin anda sudah memiliki panduan untuk memilih hospital bagi melahirkan zuriat. Tidak kira sama ada pilihan anda adalah hospital kerajaan ataupun swasta pastikan kriteria penting yang memihak kepada keselamatan diri sendiri dan bayi menjadi keutamaan.

Memang tidak dinafikan antara kedua hospital mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing yang hanya boleh dipertimbangkan oleh bakal mama sendiri. Bagaimanapun faktor kewangan juga antara perkara penting yang perlu diambil kira ketika memilih hospital bersalin.

Jika berkemampuan dan mahukan layanan lima bintang tidak salah memilih hospital swasta terkemuka sebagai pilihan bersalin. Namun bukan bermakna mereka yang memilih hospital kerajaan tidak menerima perkhidmatan berkualiti kerana kita sedia maklum fasiliti di hospital kerajaan lengkap dan canggih. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera.

No comments:

Post a Comment